Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke WorldSkills ASEAN Manila 2025

Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke WorldSkills ASEAN Manila 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 12 Jun 2025 bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, sebagai simbol sokongan dan amanah kepada peserta-peserta negara yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat serantau tersebut. Seramai 70 orang peserta dan pakar dari pelbagai bidang kemahiran akan menyertai pertandingan yang dijadualkan berlangsung di Manila, Filipina dari 21 hingga 31 Ogos 2025.

Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri menekankan kepentingan penguasaan kemahiran tinggi dalam kalangan belia sebagai pemangkin kemajuan negara dan menggesa semua peserta untuk membawa nama Malaysia dengan penuh semangat, integriti dan profesionalisme. Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa peserta Malaysia mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di pentas antarabangsa.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), wakil industri, institusi latihan kemahiran serta ahli keluarga peserta.

Majlis ini turut menyuntik semangat patriotisme kepada para peserta dan menjadi titik tolak kepada persiapan intensif menjelang pertandingan sebenar di Manila kelak.

Image
Image
Image
Image