Bil.3/2025
23 September 2025 (Selasa) – YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi MPKM telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) Bilangan 2 Tahun 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Perdana, Aras 27, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Menara Dato' Onn, WTCKL. Agenda utama mesyuarat ini adalah perancangan strategik pertandingan kemahiran negara sepanjang tahun 2025 serta pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pengenalan
YB Timbalan Menteri merakamkan penghargaan kepada semua ahli mesyuarat dan menekankan kepentingan kerjasama antara Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta agensi lain dalam memperkasa hala tuju pertandingan kemahiran negara. Beliau yakin kerjasama strategik ini mampu menghasilkan keputusan tepat demi pembangunan TVET negara.
Perancangan dan Pelaksanaan Tahun 2025
Peringkat Kebangsaan
Pelaksanaan pra-kelayakan pertandingan kemahiran 2025 melibatkan empat kategori utama:
- WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) – 38 bidang
- WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) – 6 bidang
- Junior Skills Malaysia (JSM) – 5 bidang
- WorldSkills Malaysia University Challenge (WSMUC) – 8 bidang
Pusingan pra-kelayakan telah dilaksanakan oleh JPK, KKR dan UniKL antara Jun hingga Julai 2025. Sebagaimana dipersetujui dalam mesyuarat sebelum ini, pertandingan akhir WSMB, WSMP dan WSMUC akan diadakan pada tahun 2026, kecuali bagi 4 bidang WSMUC yang bakal berlangsung pada 27–29 Oktober 2025.
Peringkat Antarabangsa
Malaysia menunjukkan kecemerlangan di WorldSkills ASEAN Manila 2025 dengan memperoleh:
- 13 pingat emas,
- 4 perak, 3 gangsa
- 2 Medallion for Excellence,
menjadikan Malaysia juara keseluruhan rantau ASEAN.
Seterusnya, Malaysia sedang mempersiapkan peserta untuk WorldSkills Asia Taipei 2025 (27–29 November 2025). Pengesyoran bidang penyertaan, senarai peserta dan pakar negara akan dibentangkan. Majlis turut merancang penganugerahan watikah pelantikan kepada pakar negara sebagai pengiktirafan dan suntikan semangat.
YB Timbalan Menteri menyeru agar semua pihak memberi sokongan melalui khidmat nasihat, penajaan kewangan, peralatan, bahan guna habis, tapak latihan serta sokongan moral demi misi mengharumkan nama negara.
Selain itu, sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, pelbagai aktiviti seperti pertandingan persahabatan dan latihan bersama negara ASEAN telah dianjurkan oleh JPK, KESUMA dan KKR.