LATAR BELAKANG

MAJLIS PERTANDINGAN KEMAHIRAN MALAYSIA (MPKM)

Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) ditubuhkan di Kementerian Kerja Raya (KKR) yang mana pada masa itu aktiviti pertandingan kemahiran diurusetiakan oleh KKR. Pada 3 Mac 2010, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan agar Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengambil alih pengurusetian aktiviti pertandingan kemahiran daripada pihak KKR. Bermula pada tarikh tersebut, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah diarahkan untuk menguruskan pertandingan kemahiran termasuklah urusetia Majlis. Walaubagaimanapun, KKR masih menguruskan pertandingan bagi bidang-bidang kemahiran yang berkaitan dengan sektor pembinaan.
 

Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) merupakan suatu Majlis yang ditubuhkan bagi menjalankan fungsi-fungsi seperti berikut:

i. Menentukan dasar bagi penganjuran dan pengendalian penyertaan Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa iaitu Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), Pertandingan WorldSkills  Malaysia Pengajar (WSMP), ASEAN Skills Competition (ASC), World Skills Asia (WSA) dan WorldSkills Competition (WSC).

ii. Mengesahkan standard dan kategori pertandingan bagi penganjuran pertandingan kemahiran.

iii. Menentukan penyertaan Malaysia dalam pertandingan kemahiran di peringkat antarabangsa.

iv. Menyelaras promosi latihan kemahiran sama ada di dalam dan luar negara melalui pertandingan.

v. Menggalak dan menggiatkan penajaan bagi bidang-bidang kemahiran dalam setiap pertandingan.

vi. Membentuk jaringan global dan glokal dalam konteks latihan kemahiran.

vii. Menyelaras keperluan peruntukan kewangan bagi aktiviti pertandingan kemahiran.